Malaysia Web Hosting

Kenangan Terindah Bersama Arwah Mama: 1

Tepat jam 4 pagi, pada 13 Julai 2012, aku telah bergelar anak yatim setelah mama yang sangat aku sayangi pergi meninggalkan aku dan keluarga buat selama-lamanya.

Waktu sekolah rendah, waktu aku masih di darjah 1 dan 2, mama yang sentiasa hantar aku dan adik ke sekolah. Tak pernah merungut walaupun sekali. Setiap pagi mama akan kejutkan kami, mama akan siapkan sarapan kami adik beradik, siapkan baju sekolah atas katil dan kasut serta stokin di pintu. Terngiang-ngiang telinga aku dengan pesan mama, belajar rajin-rajin, jaga adik kat sekolah, jangan gaduh dengan adik dan macam2 lagi. Mama sangat gembira bila aku terima anugerah pelajar terbaik dalam matapelajaran (tak ingat dah matapelajaran apa).

Ketika aku darjah 3, aku bertukar sekolah ke  SK Sultan Abdul Halim, mama sangat gembira bila aku berjaya mendapat tempat ke-5 dalam kelas pada tahun tu. Berkali-kali mama cium pipi aku. Pada tahun tu juga arwah Datuk aku meninggal dunia. Kami juga turut berpindah ke kampung kerana abah ingin menemani nenek yang ketika itu tinggal seorang diri dirumah. Selama 8 tahun pelbagai kenangan manis dan pahit kami lalui bersama. Mama sangat tabah dan sangat kuat. Sering menasihati kami adik beradik agar bersabar kerana selama 8tahun, kami hidup dengan cara yang sangat bersederhana. Mama tak pernah sekali pun merungut kesempitan wang kepada kami adik beradik. Setiap kali raya, mama yang paling sibuk menyiapkan masakan dan persiapan raya. Pernah sekali mama tidak menjamah sedikit pun makanan kerana takut saudara mara yang datang tidak cukup makanan.

Sewaktu aku darjah 4 atau 5, kami mengusahakan tanaman tebu. Pakcik hanya menanam benih, tetapi abah, angah, dan aku yang menjaga termasuk menabur baja, memasang pasak buluh, menyiram pokok tebu sehinggalah waktu menuai kami juga yang memetik hasilnya. Tidak ada walau sekupang pun diberikan kepada kami oleh pakcik. Demi mengambil hati aku yang merajuk, mama berikan rm1 (waktu itu rm1 sangat besar nilainya) untuk berbelanja pada petang tu, aku rasa seronok sangat. Mama sangat memahami perasaan aku walaupun aku tidak berkata apa-apa.

Sewaktu aku sekolah menengah, aku ditempatkan di Kolej Sultan Abdul Hamid. Mama masih lagi menghantar aku ke sekolah sehingga aku tingkatan 3. Terlalu banyak kenangan aku bersama mama untuk aku kongsikan.
read more “Kenangan Terindah Bersama Arwah Mama: 1”